
KUCHING – Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak mengambil langkah memperluaskan kerjasama antara institusi keusahawanan dan akademik menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU).
Majlis yang berlangsung di Serapi Hotel, Kuching itu menyaksikan persetujuan kedua-dua organisasi untuk meneroka pelbagai inisiatif bersama dalam memperkukuh pembangunan usahawan Bumiputera di Sarawak.
Dokumen persefahaman berkenaan ditandatangani oleh Rektor UiTM Cawangan Sarawak, YBrs. Prof. Dr. Firdaus Abdullah, yang mewakili pihak universiti, manakala DUBS diwakili Presidennya, YBhg. Datu Haji Abang Helmi bin Tan Sri Ikhwan.
Menerusi kerjasama ini, kedua-dua pihak akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program berkaitan pembangunan keusahawanan, penyelidikan, inovasi serta latihan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran golongan usahawan.
Selain itu, jalinan kerjasama tersebut turut membuka peluang kepada perkongsian kepakaran dan sumber antara pihak universiti dengan komuniti perniagaan, khususnya dalam usaha melahirkan usahawan yang lebih berdaya saing dan berpengetahuan.
Penglibatan institusi pendidikan tinggi seperti UiTM dilihat dapat menyediakan sokongan dari aspek akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan, manakala DUBS berperanan menghubungkan kepakaran tersebut dengan keperluan sebenar dunia perniagaan.
Kerjasama ini diharap dapat menghasilkan pelbagai program berimpak positif yang bukan sahaja memberi manfaat kepada ahli DUBS, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekosistem keusahawanan dan pembangunan ekonomi Sarawak secara keseluruhan.
Pemeteraian MoU ini turut mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi untuk terus memperluaskan hubungan strategik dalam usaha membina komuniti usahawan Bumiputera yang progresif, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.
Bersama Memperkasa Usahawan, Membina Masa Depan.