
KUCHING – Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) memperluaskan jaringan kerjasama ekonomi serantau menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS) dan Kamar Dagang dan Industri Indonesia Provinsi Kalimantan Barat (KADIN Kalbar).
Majlis pertukaran MoU tersebut berlangsung di Waterfront Hotel, Kuching, bersempena penganjuran Borneo International Halal Showcase (BIHAS) 2026.
Majlis berkenaan disaksikan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bersama Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Timbalan Menteri Utiliti (Bekalan Air) merangkap Pengerusi BIHAS 2026, YB Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Kerjasama tiga organisasi tersebut mencerminkan usaha berterusan dalam membina hubungan perniagaan yang lebih erat antara Sarawak, Sabah dan Kalimantan Barat, khususnya dalam memperluaskan peluang perdagangan dan pelaburan merentasi sempadan.
Melalui persefahaman ini, ketiga-tiga pihak berhasrat memperkukuh hubungan strategik dalam beberapa bidang utama termasuk pembangunan keusahawanan, perdagangan, pelaburan dan industri halal.
Inisiatif berkenaan juga dilihat mampu membuka ruang kepada komuniti usahawan untuk meneroka pasaran baharu, membina hubungan perniagaan serta mengenal pasti potensi kerjasama yang memberi manfaat kepada semua pihak.
Penganjuran pertukaran MoU sempena BIHAS 2026 turut memperlihatkan kepentingan platform serantau dalam menghimpunkan pemain industri dan organisasi perniagaan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi di rantau Borneo.
Kerjasama ini diharapkan menjadi asas kepada lebih banyak inisiatif bersama pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh kedudukan usahawan tempatan dalam ekosistem perdagangan dan industri halal di peringkat serantau serta antarabangsa.